Penyusuan bayi dengan susu ibu sering diperkatakan oleh pengamal-pengamal perubatan dan kesihatan bayi. Hakikatnya susu ibu sangat penting untuk perkembangan tubuh badan dan minda bayi. Dalam Islam, budaya menyusu dengan susu ibu sangat digalakkan, malah sehingga bayi berumur 2 tahun masih digalakkan menyusu dengan susu ibu. Dan begitu juga dengan konsep ibu susuan juga adalah galakan supaya menyusu bayi dengan susu badan ibu.
Apa khasiat menyusu dengan susu Ibu?Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Tuhan telah menentukan susu ibu untuk anak manusia. Malah Dia telah berpesan dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan. Agama Islam pula ada menggambarkan pembalasan di hari akhirat bagi ibu-ibu yang enggan menyusu anak dengan sengaja "maka berdatanganlah ular menggigit kedua-dua belah buah dada wanita itu."
Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.
Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.
Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.
Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.
Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.
Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.
Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.
Susu ibu yang dijadikan Allah mempunyai pelbagai khasiat. Di sini diletakkan serba sedikit khasiat susu ibu, serta kelebihannya:
1. Penyusuan secara eksklusif bagi 6 bulan pertama hayat bayi adalah mencukupi untuk menyokong tumbesaran dan kesihatan bayi secara optimum. Susu ibu menyediakan perlindungan berterusan terhadap cirit-birit dan masalah pernafasan bayi.
2. Penyusuan badan juga membantu dari segi nutrisi, imunisasi, psikologi, dan ekonomi.
3. Susu ibu lebih mudah dihadam berbanding susu formula. Susu lembu mengandungi dua kali protein berbanding susu ibu. Oleh itu, bayi yang minum susu formula mendapat protein yang berlebihan. Najis bayi yang minum susu formula adalah lebih keras disebabkan mereka tidak mampu menyerap protein berlebihan tersebut. Bayi yang minum susu ibu pula menyerap 100% protein yang terdapat di dalam susu ibu. Najis bayi yang menyusu badan juga tidak berbau.
4. Ibu yang tidak menyusu badan mempunyai risiko kanser payudara dan rahim yang lebih tinggi berbanding ibu yang menyusu badan.
5. Penyusuan badan dapat membantu mengecutkan rahim. Rahim ibu yang tidak pernah menyusu badan tidak akan dapat kecut kembali seperti sebelum mengandung. Menyusu badan juga membantu ibu mendapatkan kembali bentuk badan seperti sebelum mengandung dengan lebih cepat. (Ini adalah pengalaman saya sendiri - berat badan saya kembali kepada asal dengan cepat!). Ini adalah kerana penyusuan badan memerlukan 500 kalori sehari.
6. Bayi perempuan yang minum susu formula mempunyai risiko kanser payudara yang lebih tinggi - erk, saya dulu minum formula. maknanya risiko saya untuk mendapat kanser payudara lebih tinggi! memang patut pun saya menyusu badan! ini yang menambahkan lagi semangat nak menyusu badan!
7. Susu ibu meningkatkan pertumbuhan otak dan IQ anak.
8. Susu ibu sentiasa tersedia untuk si anak, serta berada dalam ‘pakej’ yang lebih cantik - hehehehe
9. Susu ibu mengandungi imuniti terhadap pelbagai penyakit dan membantu meningkatkan sistem imunisasi bayi. Bayi yang menyusu badan jarang sakit kerana si ibu akan memindahkan antibodinya kepada bayi melalui susu tersebut.- Bayi yang menyusu badan juga terlindung (bukan sepenuhnya) dari penyakit pneumonia, bronkitis, ear infections dan macam-macam lagi.
10. Penyusuan badan dapat membantu menyokong keperluan emosi anak serta mengeratkan lagi hubungan antara anak dan ibu.
11. Susu ibu mempunyai nutrisi lengkap untuk bayi. Susu ibu adalah custom-made mengikut keperluan bayi tersebut. Ianya mengandungi peratusan lemak, kabohidrat dan protein yang bersesuaian untuk peringkat umur bayi. Tiada susu formula yang dihasilkan mampu memberikan nutrisi yang betul-betul bersesuaian dengan keperluan tubuh bayi. Susu ibu juga sentiasa berada dalam suhu yang bersesuaian dengan keperluan bayi.
12. Susu ibu yang melahirkan anak pra-matang adalah khusus untuk bayi tersebut. Tidak ada susu formula yang dapat menghasilkan susu begini.
13. Susu formula meningkatkan risiko penyakit diabetes. Susu ibu pula dapat mengurangkan risiko diabetes Type 2.
14. Bayi yang menyusu badan membantu mengurangkan keperluan insulin ibu yang berpenyakit diabetes.
15. Bayi yang minum susu formula lebih mudah terdedah kepada pelbagai alahan
16. Susu ibu mengurangkan risiko athma.
17. Susu formula mungkin meningkatkan risiko SIDS (sudden infant death syndrome)
18. Bayi yang minum susu formula mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat ‘childhood cancer’. Studi menunjukkan bayi yang minum susu ibu untuk sekurang-kurangnya sebulan mepunyai 21% peluang yang lebih rendah untuk mendapat leukimia, dan 30% untuk bayi yang menyusu badan selama 6 bulan.
19. Penyusuan badan melindungi bayi daripada beberapa masalah penglihatan.
20. Bayi yang minum susu formula lebih berisiko untuk obes - saya lah tu. Susu ibu pula mengurangkan risiko mendapat kolestrol tinggi.
21. Penyusuan badan = kurang EL atau MC untuk ibubapa. Memandangkan bayi yang menyusu badan jarang sakit, atau jika sakit pun cepat sembuh, maka ibu atau bapa tidak perlu ambil cuti lama untuk jaga anak.
22. Penyusuan badan sebagai kaedah merancang keluarga secara semulajadi. Kebanyakan wanita yang menyusu badan tidak datang haid selama 6 bulan selepas bersalin. Penyusuan waktu malam menggalakkan lagi tempoh ‘periodlessness’. Tetapi bukanlah bermakna ibu yang menyusu badan tidak boleh mengandung langsung selama tempoh penyusuan eksklusif. Semuanya takdir Allah - kalau sudah rezeki, Insyaallah boleh mengandung juga.
23. Penyusuan badan lebih mudah berbanding susu formula. Tidak perlu membancuh susu, hanya selak baju dan tawarkan susu kepada bayi. Tidak perlu berbelanja untuk susu formula. Kerana susu ibu adalah percuma! Ianya hadiah dan anugerah dari Allah untuk hambaNya.
24. Susu formula sangat mahal. Mungkin ada yang bertanya, pam juga mahal kan? Tetapi jika dilihat secara jangka panjang, pam yang dibeli adalah untuk tempoh selama 2 tahun. Katakan satu pam berharga lebih kurang RM500. Jika RM500 dibahagikan dengan 24 bulan = RM20.83! Cukupkah RM20.83 untuk stok susu formula selama sebulan?? Itu pun jika untuk satu anak sahaja. Bagaimana pula jika pam tersebut turut digunakan untuk anak kedua, ketiga dan seterusnya? Bukankah lebih murah?
25. Susu ibu bertindak sebagai ‘ubat penenang’ kepada bayi dan ibu. Bayi biasanya lebih tenang selepas minum susu ibu. Ibu juga merasa lebih tenang selepas menyusukan atau selepas mengepam. Ianya mengurangkan tekanan darah. Susu ibu juga dapat mengurangkan rasa sakit pada bayi. Jika bawa bayi anda untuk pengambilan vaksin, adalah elok untuk segera menyusukannya selepas dicucuk. Ini dapat mengurangkan rasa sakit bayi anda serta meningkatkan keberkesanan vaksin tersebut dalam tubuh bayi.
26. Susu ibu lebih sedap berbanding susu formula. Susu ibu rasanya lebih manis sedangkan susu formula rasanya lebih payau dan pekat. Betul! Saya sendiri pernah rasa susu saya (nak pastikan basi atau tidak) dan saya terkejut sebab susu saya rasanya manis. Sedangkan susu formula anak sulung saya baunya saja sudah meloyakan.
27. Susu ibu yang segar (fresh breast milk) tidak mengandungi bakteria, malahan susu ibu sendiri adalah anti-bakteria.
28. Penyusuan badan membantu pembentukan rahang dan gigi. Penyusuan adalah baik untuk pembentukan gigi dan rahang bayi kerana bayi perlu menggunakan 60 kali lebih tenaga semasa menyusu. Perlakuan ketika menghisap susu akan membantu pembentukan rahang yang sempurna dan gigi yang tersusun. Semakin lama tempoh penyusuan, semakin berkurangan masalah pergigian = kos berkaitan dengan masalah pergigian dapat dikurangkan/dielakkan. Juga membantu bayi untuk cepat bercakap.
29. Penyusuan badan melindungi ibu dari anemia kerana kebanyakan ibu menyusu tidak datang haid selama 6 bulan.
30. Bayi yang menyusu badan biasanya mempunyai kulit yang lebih cantik.
Bagimana penyusuan ibu boleh membentuk individu yang hebat dan mampu mengubah dunia?
Contoh ulung perkara ini adalah Rasulullah S.A.W. Bagaimana Allah menyediakan Nabi terulung ini dengan tubuh badan yang sihat, cergas, perkasa, kuat, bersemangat, akal yang cerdas, pintar, cerdik, bijaksana, hormon yang stabil (mampu mengawal emosi) dan sebagainya. Selain daripada tarbiyah dan didikan ruhiyyah dari Allah, persediaan fizikal juga diutamakan oleh Allah bermula dari ketika Nabi masih kecil.
Lihat bagaimana Nabi disusukan kali pertama oleh ibunya, Aminah. Kemudian Suwaibah menjadi ibu susuan pertama nabi. Kemudian barulah Halimatus Saadiah menyusukan Nabi. Tiga susu daripada tiga individu yang berbeza ini menguatkan potensi Rasulullah yang bakal menjadi pemimpin umat, Nabi Akhir zaman.
Daripada sedikit kelebihan penyusuan ibu di atas, kita dapat memahami, Nabi memiliki sekurang-kurangnya tiga jenis antibodi yang berbeza berpunca daripada tiga individu susuan yang berbeza. Hal ini memberi kelebihan imunisasi kepada tubuh fizikal Nabi dan perkembangan minda yang sangat hebat. Lihatlah betapa nabi sangat Fatanah. Sangat bijaksana dalam menangani sebarang isu yang timbul. Sangat pintar dalam membuat percaturan. Sangat alim dalam ilmu-ilmu yang diajar oleh Allah kepada baginda. Itulah kelebihan susu ibu kepada Nabi, selain daripada faktor-faktor tarbiyah yang lain.
Comments
Post a Comment
KOMEN DAN PERTANYAAN SILA TULIS DI RUANGAN INI YA